15 Tempat Menarik di Nara (2024)

nara

Nara (pada asalnya dikenali sebagai Heijo) ditubuhkan sebagai ibu kota utama pertama di Jepun pada tahun 710. Tetapi disebabkan oleh pengaruh dan cita-cita politik Biara Buddha di sini, kerajaan membuat keputusan untuk memindahkan ibu kota ke bandar Nagaoka pada tahun 784. Tidak lama kemudian, kerajaan berpindah sekali lagi ke Kyoto. Disebabkan sejarahnya yang kaya, anda harus melawat bandar ini untuk khazanah bersejarahnya yang meliputi beberapa kuil-kuil tertua dan terbesar di Jepun. Di bawah adalah senarai tempat menarik di Nara yang terkenal yang anda patut lawati!

1. Kuil Todaiji

Todaiji Temple

Antara tempat menarik terkenal di Nara (dan Jepun) ialah Kuil Todaiji yang dibina pada tahun 752. Dalam tempoh yang singkat, kuil Buddha ini menjadi sangat berpengaruh dalam urusan kerajaan dan adalah salah satu sebab ibu negara dipindahkan ke Nagaoka pada tahun 784.

Kini, dewan utama Kuil Todaiji (juga dikenali sebagai “Daibutsuden” atau Dewan Buddha Besar) merupakan bangunan kayu terbesar di dunia. Ia juga merupakan tempat di mana “Daibutsu” (salah satu patung gangsa Buddha yang terbesar di Jepun) boleh ditemui.

2. Dewan Nigatsudo

Nigatsudo Hall

Maksud nama “Nigatsudo” ialah “dewan bulan kedua”, yang merujuk pada bulan kedua dalam kalendar lunar. Walaupun Nigatsudo sebenarnya terletak di dalam kuil Todaiji, dewan ini digunakan setahun sekali untuk upacara “Omizutori” yang dianjurkan dari 1 hingga 14 Mac. Seperti sejarah-sejarah panjang lain di Nara, upacara Omizutori ini telah diadakan setiap tahun sejak 1,250 tahun lalu.

Salah satu acara yang paling menakjubkan semasa Omizutori ialah “Otaimatsu”. Otaimatsu adalah aksi di mana obor gergasi dengan kepanjangan 6 hingga 8 meter dipegang dari balkoni dan abu api yang terbakar akan jatuh ke bawah.

3. Kasuga Taisha

Kasuga Taisha

Sebagai kuil yang paling terkenal di Nara, Kasuga Taisha ditubuhkan pada masa yang sama dengan ibu kota Nara. Anda boleh melihat beratus-ratus tanglung gangsa yang telah disumbangkan oleh para penyembah semasa berdoa di sini. Sekiranya anda melawat Kasuga Taisha pada bulan Februari dan Ogos, anda akan dapat menghayati pemandangan di mana lampu-lampu tanglung ini dinyalakan semasa perayaan tanglung. Tempat lain yang patut dikunjungi semasa di sini ialah Taman Botani Kasuga Taisha Shinen Manyo, Muzium Kasuga Taisha dan Hutan Kasuga Primeval.

4. Taman Nara

Nara Park

Jika anda melawat Kuil Todaiji (#1) dan Kasuga Taisha (#3), anda akan mempunyai peluang untuk melawati salah satu tempat menarik di Nara yang paling indah iaitu Taman Nara. Taman ini juga merupakan tempat kediaman rusa yang merupakan simbol bandar Nara. Datanglah ke taman ini dengan seisi keluarga anda untuk menghayati keindahan taman ini sambil menyuap rusa dengan makanan keropok yang boleh dibeli di taman ini.

5. Muzium Negara Nara

Nara National Museum

Jika anda berada di sekitar Taman Nara, lawatilah Muzium Negara Nara yang mempamerkan seni Buddha Jepun. Di sini, anda akan dapat melihat patung, lukisan, objek upacara dan skrol Buddha. Muzium ini dibuka pada tahun 1889 dan satu bangunan baru telah ditambahkan ke bangunan asal sejak itu.

Memahami sejarah sesebuah negara merupakan cara terbaik untuk menikmati semua tarikan pelancongan yang ditawarkan. Disebabkan itu, Muzium Negara Nara merupakan salah satu tempat yang terbaik untuk dilawati untuk memahami tempat-tempat menarik di Nara dengan lebih mendalam.

6. Wakakusayama

Wakakusayama

Gunung yang diliputi dengan rumput ini terletak di belakang Taman Nara (#4), dan berada di antara dua tapak yang lain dalam senarai ini iaitu Kuil Todaiji (#1) dan Kuil Kasuga Taisha (#3). Jika anda sedang mencari tempat di mana anda boleh melihat pemandangan bandar Nara, Wakakusayama merupakan tempat yang wajib dikunjungi. Gunung Wakakusayama dibuka sepanjang tahun kecuali pada bulan-bulan musim sejuk. Pendakian awal untuk sampai ke dataran gunung ini mengambil masa kira-kira 15-20 minit.

Untuk sampai ke puncak, anda akan memerlukan masa selama 20-30 minit lagi. Sekiranya anda melawat Nara pada bulan Januari, Sabtu keempat merupakan acara “Wakakusa Yamayaki” di mana lereng Gunung Wakakusayama dibakar. Walau asal usul acara ini tidak jelas, tetapi pertunjukan bunga api sebelum acara ini merupakan petunjuk bahawa ia adalah satu perayaan.

7. Kuil Horyuji

Horyuji Temple

Satu tempat menarik di Nara yang terkenal ialah Kuil Horyuji. Antara kuil tertua di Jepun, ia diasaskan oleh Putera Shotoku pada tahun 607 dengan tujuan untuk memperkenalkan ajaran Buddha di Jepun pada masa itu. Disebabkan kepentingannya, Kuil Horyuji dinamakan sebagai tapak warisan dunia pada tahun 1993.

Di kuil ini, anda juga dapat melihat struktur-struktur kayu tertua di dunia pada pintu pusat (Chumon), dewan utama (Kondo) dan pagoda lima tingkat. Kuil ini telah diubahsuai beberapa kali sejak beberapa tahun lalu dan oleh sebab itu, kuil ini kekal dalam keadaan baik.

8. Kuil Yakushiji

Walaupun Kuil Yakushiji kelihatan seolah-olah mempunyai enam tingkat di luar, sebenarnya ia hanya mempunyai tiga tingkat. Sejarahnya menyerupai kuil lain di Jepun di mana seorang maharaja membina untuk ahli keluarganya. Dalam kes ini, Maharaja Tenmu membinanya pada abad ke-7 untuk isterinya yang sakit. Reka bentuknya mengikut susun atur yang tegas dan dibina semula pada tahun 1970 kerana kuil ini dimusnahkan dalam kebakaran.

9. Kuil Toshodaiji

Toshodaiji Temple

Asal usul Kuil Toshodaiji lebih unik berbanding dengan kuil Jepun yang lain. Ia dibina pada tahun 759 oleh seorang imam China yang datang ke Jepun untuk melatih para imam dan memajukan ajaran Buddha di Jepun. Anda boleh menikmati dewan utama kuil yang diubahsuai baru-baru ini serta pemandangan indah yang terdapat di sini melalui kawasan kuil yang dikelilingi oleh alam semula jadi.

10. Kuil Shin-Yakushiji

Shin-Yakushiji Temple

Ditubuhkan semasa zaman Nara, Kuil Shin-Yakushiji dibina khas untuk penjaga perubatan Buddha di Jepun. Shin-Yakushiji bermaksud “Kuil Yakushi yang baru” kerana sudah wujudnya satu Kuil yang mempunyai nama yang sama di Jepun. Apabila anda masuk ke dalam dewan utama di sini, anda akan dapat melihat 12 patung-patung dewa penjaga yang tingginya seperti manusia biasa. Pada asalnya, kuil ini mempunyai beberapa bangunan tetapi kini, ia cuma dewan utama yang tertinggal.

11. Kuil Kofukuji

Kofukuji Temple

Kuil Kofukuji merupakan bekas kuil keluarga Fujiwara yang dibina pada tahun 710. Keluarga Fujiwara adalah sangat berkuasa dan merupakan golongan bangsawan semasa zaman Nara dan Heian. Kuil ini memang menakjubkan kerana ia terdiri daripada lebih 150 bangunan pada satu masa dahulu. Pagoda bertingkat lima ini merupakan pagoda kedua tertinggi di Jepun, justeru menjadikannya salah satu tempat menarik di Nara yang terpenting tetapi malangnya, dewan utamanya dimusnahkan dalam api sekitar 300 tahun yang lalu.

Jika anda ingin melihat patung Buddha semasa melawat Kuil Kofukuji, anda boleh melawat Dewan Timur Emas yang mempunyai Buddha Yakushi yang besar. Muzium Harta Negara Kofukuji yang terletak berdekatan dengan Dewan Timur Emas juga merupakan satu lagi tempat untuk dilawati di Nara oleh penganut dan pencinta seni Buddha.

12. Taman Yoshikien

Yoshikien Garden

Taman Yoshikien berada di kawasan yang sama dengan bekas kediaman imam Kofukuji yang terletak di sebelah Sungai Yoshinogawa. Sebaik sahaja anda sampai ke tempat ini, anda akan dialu-alukan oleh taman kolam, taman majlis teh dan juga taman lumut yang istimewa. Terletak di seberang sungai yang kecil ialah Taman Isuien (#13) yang mempamerkan lebih banyak teknik berkebun Jepun.

13. Taman Isuien

Isuien Garden

Berbanding dengan kebanyakan tempat menarik utama di Nara yang bermula pada tahun 700an, sejarah Taman Isuien lebih pendek. Taman ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu taman depan dan taman belakang. Taman depan dibina pada abad ke-17 manakala taman belakangnya dibina pada tahun 1899. Di sini, anda dapat menikmati kolam, rumah teh dan juga sebuah muzium yang mempamerkan koleksi tembikar, cermin, artifak dari China dan Korea kuno, dan meterai.

14. Istana Heijo

Heijo Palace

Nara juga dikenali sebagai Heijo-kyo apabila ia masih merupakan ibu kota Jepun. Istana Heijo merupakan kediaman maharaja dan juga berfungsi sebagai pejabat pemerintahan. Istana ini merupakan tempat menarik di Nara yang paling penting (kerana sejarahnya sebagai ibu kota pertama di Jepun) yang kini diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Bangunan istana yang pernah menjadi pusat ibu kota ini akhirnya hancur, dan dewan tunggal yang kekal dipindahkan ke Kuil Toshodaiji.

Apabila ibu kota berpindah, orang ramai juga berpindah bersama-sama dengannya dan untuk seketika, halaman bekas istana ini digunakan sebagai sawah padi. Sekarang, banyak yang berminat untuk mempelajari sejarah Nara dan akan melawat Istana ini sambil meraikan masa lalunya. Struktur utama istana telah dipulihkan supaya orang ramai boleh menghayatinya dengan lebih mendalam.

15. Naramachi

Naramachi

Naramachi merupakan bekas daerah pedagang di mana anda masih boleh menghayati gudang yang dipelihara dengan baik di sini. Anda juga boleh berjalan-jalan sepanjang laluan ini sambil melawat gudang, restoran, kafe dan muzium yang terdapat di sini. Banyak yang tidak tahu bahawa sebelum ia menjadi sebuah daerah pedagang, Naramachi merupakan rumah kepada Kuil Gangoji. Ia merupakan salah satu kuil yang terpenting di Jepun tetapi hanya sisa bangunan kuil yang masih kekal pada hari ini. Disebabkan itu, tempat menarik di Nara ini telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sebagai bekas ibu kota Jepun, memang terdapat banyak tempat menarik di Nara yang penting. Ia mempunyai banyak kuil (lebih banyak daripada apa yang anda boleh lihat dalam satu lawatan), muzium-muzium untuk mendokumenkan sejarahnya dan taman-taman yang memukau hati. Anda dinasihatkan untuk mempelajari latar belakang sejarah Nara supaya anda boleh menghayati dengan lebih mendalam semua tarikan yang ditawarkan di sini.